Bismillah.
Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan Sekalian Alam, kerana dengan keizinan dari Nya, saya masih dapat menulis pada kali ini. Semoga usaha ini masih lagi dikira sebagai usaha jihad untuk setidaknya membantu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini, insyaAllah.
Kali ini saya tertarik untuk membahaskan berkenaan suatu perkara yang saya fikir penting untuk kita sama-sama faham, supaya cara dan niat kita untuk terus istiqamah dalam iman dan perjuangan Islam terhindar dari sebarang unsur dan anasir yang tidak bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya.
Dewasa ini, kita semua dapat menyaksikan bahawa, semakin ramai individu malah masyarakat muslim samada dalam negara ini mahupun negara luar sudah mempunyai kesedaran Islam dalam diri dan jiwa mereka, sehingga semakin ramai yang mula mahu mendekati gerakan-gerakan pembaharuan (tajdid) samada dalam soal politik, agama mahupun aspek lain. Apabila berbicara soal gerakan tajdid, dapat dikatakan bahawa bukan semua gerakan tajdid itu merupakan islah, tetapi setiap islah itu adalah tajdid. Ini kerana, islah adalah usaha kearah mengembalikan umat Islam ke landasan ajaran Islam yang sebenar, dalam erti kata lain, ia adalah soal dalaman umat Islam yang berkait rapat aspek agama (secara literalnya). Namun tajdid ini satu perkara yang umum. Boleh jadi tajdid itu berlaku dalam kerangka politik, ekonomi, agama, sosial, budaya, teknologi dan banyak lagi. Dek kerana gerakan pembaharuan ini semakin meresap ke dalam jiwa setiap masyarakat, tidak kira mereka itu muslim atau tidak, maka kita dapat menyaksikan rejim-rejim yang kuat dapat ditumbangkan oleh rakyat mereka sendiri dengan kekuatan kesedaran tajdid ini dalam minda sedar mereka. Untuk menggerakkan tajdid, kita mestilah menggunakan setiap medium dan saluran yang ada, dan saluran tersebut mestilah optimum kesannya untuk memastikan mesej tajdid itu tersampai kepada setiap individu masyarakat. Justeru, Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Kahfi, ayat 83 hingga 85, maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulqarnain. Katakanlah, ‘akan kubacakan kepadamu kisahnya. Sungguh, Kami telah memberi kedudukan kepadanya di bumi, dan Kami telah memberikan jalan kepadanya (untuk mencapai) segala sesuatu. Maka dia pun menempuh suatu jalan”. Antara yang diterangkan dalam ayat tersebut adalah, Zulqarnain mengikuti jalan (asbab) yang ditunjukkan oleh Allah azzawajalla, sehingga menjadikan beliau dapat menguasai sebahagian besar peta dunia pada ketika itu. Justeru, kita juga perlu mengikut sebab atau asbab yang Allah s.w.t tunjukkan kepada kita supaya dapat kita kuasai pemikiran kebanyakan masyarakat dunia, dekat kepada kebenaran Islam. Antara banyak aspek yang ada pada ketika ini untuk dijadikan ‘asbab’ itu, yang kuat pengaruhnya adalah politik.