Monday, November 28, 2011

ISLAM ITU MATLAMAT, BUKAN ALAT




                                                                           Bismillah.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan Sekalian Alam, kerana dengan keizinan dari Nya, saya masih dapat menulis pada kali ini. Semoga usaha ini masih lagi dikira sebagai usaha jihad untuk setidaknya membantu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini, insyaAllah.

Kali ini saya tertarik untuk membahaskan berkenaan suatu perkara yang saya fikir penting untuk kita sama-sama faham, supaya cara dan niat kita untuk terus istiqamah dalam iman dan perjuangan Islam terhindar dari sebarang unsur dan anasir yang tidak bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya.

Dewasa ini, kita semua dapat menyaksikan bahawa, semakin ramai individu malah masyarakat muslim samada dalam negara ini mahupun negara luar sudah mempunyai kesedaran Islam dalam diri dan jiwa mereka, sehingga semakin ramai yang mula mahu mendekati gerakan-gerakan pembaharuan (tajdid) samada dalam soal politik, agama mahupun aspek lain. Apabila berbicara soal gerakan tajdid, dapat dikatakan bahawa bukan semua gerakan tajdid itu merupakan islah, tetapi setiap islah itu adalah tajdid. Ini kerana, islah adalah usaha kearah mengembalikan umat Islam ke landasan ajaran Islam yang sebenar, dalam erti kata lain, ia adalah soal dalaman umat Islam yang berkait rapat aspek agama (secara literalnya). Namun tajdid ini satu perkara yang umum. Boleh jadi tajdid itu berlaku dalam kerangka politik, ekonomi, agama, sosial, budaya, teknologi dan banyak lagi. Dek kerana gerakan pembaharuan ini semakin meresap ke dalam jiwa setiap masyarakat, tidak kira mereka itu muslim atau tidak, maka kita dapat menyaksikan rejim-rejim yang kuat dapat ditumbangkan oleh rakyat mereka sendiri dengan kekuatan kesedaran tajdid ini dalam minda sedar mereka. Untuk menggerakkan tajdid, kita mestilah menggunakan setiap medium dan saluran yang ada, dan saluran tersebut mestilah optimum kesannya untuk memastikan mesej tajdid itu tersampai kepada setiap individu masyarakat. Justeru, Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Kahfi, ayat 83 hingga 85, maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulqarnain. Katakanlah, ‘akan kubacakan kepadamu kisahnya. Sungguh, Kami telah memberi kedudukan kepadanya di bumi, dan Kami telah memberikan jalan kepadanya (untuk mencapai) segala sesuatu. Maka dia pun menempuh suatu jalan”. Antara yang diterangkan dalam ayat tersebut adalah, Zulqarnain mengikuti jalan (asbab) yang ditunjukkan oleh Allah azzawajalla, sehingga menjadikan beliau dapat menguasai sebahagian besar peta dunia pada ketika itu. Justeru, kita juga perlu mengikut sebab atau asbab  yang Allah s.w.t tunjukkan kepada kita supaya dapat kita kuasai pemikiran kebanyakan masyarakat dunia, dekat kepada kebenaran Islam. Antara banyak aspek yang ada pada ketika ini untuk dijadikan ‘asbab’ itu, yang kuat pengaruhnya adalah politik.


Justeru, semakin hari, semakin dapat kita lihat, bahawa masyarakat negara ini khasnya, dan dunia umumnya semakin sedar dan berminat apabila bercakap soal politik. Politik ini luas konsepnya. Tidak semestinya politik itu politik kepartian. Politik adalah satu sistem pengurusan atau kepimpinan yang ada dalam setiap aspek dalam kehidupan. Seorang bapa akan berpolitik dengan ahli keluarganya untuk memastikan keluarganya mendapat yang terbaik. Seorang guru akan berpolitik untuk memastikan samada murid-muridnya cemerlang dalam pelajaran, mahupun tidak dihinggapi masalah disiplin yang serius. Seorang bos di sebuah syarikat akan berpolitik dengan para pekerjanya untuk memastikan prestasi pekerjanya sentiasa di tahap yang optimum dan produktif, justeru menaikkan prestasi syarikatnya. Seorang ahli muzik akan berpolitik dalam latihan muzik mereka supaya persembahan (recital) yang bakal mereka adakan akan berjaya mendapat sambutan penonton. Begitulah situasi politik menurut pandangan umum yang dapat saya fahami (andai salah, pembetulan dari pembaca sangat-sangat dialukan).

Dalam konteks negara kita, aspek politik kepartaian sangat-sangat ditekankan dalam pemikiran setiap daripada kita. Ada yang meletakkan nasionalisme sebagai dasar parti politik mereka, ada yang meletakkan sosialisme sebagai dasar, ada yang menjadikan keadilan sebagai paksi utama perjuangan parti, dan tidak ketinggalan juga yang menjadikan Islam sebagai dasar parti politik mereka. Maka, setiap dari ahli parti itu akan berkhidmat kepada masyarakat mahupun kepada parti mereka sendiri, berdasarkan kepada dasar parti yang mereka ‘anuti’. Namun, darsawarsa ini menyaksikan parti politik Islam semakin mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat. Mungkin kerana dasarnya adalah Islam, dan sifat Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam, maka ramai yang berminat untuk semakin mengenali Islam melalui wadah parti poilitk ini, seperti yang saya sebut di awal artikel ini, semakin ramai yang mahu kepada perubahan dan pembaharuan dalam pemikiran dan tindakan mereka. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dan sepatutnya didokong dan disokong untuk maslahat ummah sejagat.

Walaubagaimanapun, sering terjadi di mana, sesetengah daripada mereka yang beriltizam dengan gerakan perjuangan Islam ini sedikit tergelincir dari sudut pemahaman mereka dalam erti perjuangan ini. Sememangnya mereka memperjuangkan Islam, namun, kadang-kadang, ada yang menjadikan Islam itu sebagai alat, dan bukan matlamat. Di awal artikel ini, kita ada membincangkan soal medium dan asbab yang boleh diambil untuk mencapai matlamat dan kejayaan dalam perjuangan, dan dalam konteks sebenar adalah, politik itu medium (jalan), dan Islam itu matlamat. Tetapi,  ada yang terkeliru dengan menjadikan Islam itu medium atau alat, dan kepentingan politik itu sebagai matlamat. Ini terjadi apabila, sesetengah daripada mereka ini menggunakan hujah dan alasan ‘berlapikkan’ Islam. Sedangkan, dalam konteks yang sebenar, dan secara prinsipnya, perkara itu jauh dari kebenaran yang Islam bawa melalui al-quran dan sunnah. Maka, timbullah kejadian di mana seorang ahli gerakan itu melakukan satu perkara yang pada hematnya betul, namun, secara sedar atau tidak, perkara tersebut tidak menepati kaedah sebenar prinsip perjuangan, tetapi dijustifikasikan dengan hujah dan alasan Islamik. Salah satu punca mengapa perkara ini terjadi adalah feel-good factor yang melingkari jiwa dan pemikiran yang bersikap begini. Merasakan sudah selesa dalam biah Islamik, menjadikan ia tidak mahu keluar dari kedudukan tersebut dengan menerima teguran orang lain, mahupun menerima pandangan yang sedikit berbeza, kerana mereka kebiasaannya akan berhujah jika ditegur. Inilah masalah yang mesti diselesaikan dengan membetulkan cara berfikir dan persepsi.

Contoh situasi yang mudah ialah, dalam memperjuangkan dasar Islam, seseorang dai’e akan menentang segala bentuk penyelewengan, samada dalam bentuk kewangan, kuasa, kedudukan dan berbagai lagi sekiranya perkara tersebut berlaku pada pihak yang tidak ia setujui. Namun, malangnya, dia dengan tanpa segan silu menggunakan kuasanya dalm pertubuhan atau persatuan dakwahnya untuk sesuatu yang mempunyai personal interest, mahupun political interest baginya, walaupun tampak perkara itu untuk kegunaan maslahah umum. Ia akan bersikap double standard pada perkara yang tiada keuntungan buatnya. Situasinya supaya mudah difahami adalah, seorang ketua sesebuah pertubuhan akan berhabis keringat dan kudrat untuk membolehkan satu majlis jamuan atau sesuatu program (yang mana dia menjadi salah seorang vip), supaya dilaksanakan dengan penuh mewah dan meriah untuk menunjukkan bahawa dia adalah ketua yang baik dengan dapat mengatur satu majlis atau program yang hebat. Hujahnya adalah, Islam menekankan kita untuk bersungguh, munazzomah dan kemas dalam setiap gerak kerja, dan perlulah laksanakan apa sahaja yang pihak pimpinan arahkan dengan menggunakan hujah dan dalil ketaatan kepada pemimpin. Namun, ia akan bersikap acuh tak acuh dalam soal pembikinan atau proses penerbitan satu filem pendek yang juga merupakan program di bawah kepimpinannya, dek kerana ia tiada kepentingan dalam program itu, iaitu, tiada apa manfaat material yang dapat diperolehnya. Manfaat material tersebut adalah kepentingan politik yang telah dijadikan matlamat berbanding prinsip kebenaran dalam Islam. Hujah yang digunakan untuk menggerakkan anak-anak buahnya adalah betul, tetapi digunakan pada tempat dan tujuan yang salah.


Contoh kedua pula adalah yang sering kita dengar dan lihat, yang sering berlaku dalam kalangan pejuang agama. Apabila mereka menggunakan hujah dan alasan Islamik untuk terus berhubung dengan timbalan atau penolong jawatan mereka dalam kalangan muslimat, mahupun sebaliknya, walaupun tiada urusan kerja, malah lebih teruk lagi berbincang soal peribadi, hati dan perasaan yang tiada kaitan. Digunakan hujah keharusan dalam bergerak kerja demi Islam untuk memastikan mereka ‘terselamat’ dari sebarang perasaan kurang selesa semasa melakukan ‘kerja’ itu. Sedangkan itu hanyalah tipu daya mereka terhadap diri mereka sendiri. Peluang untuk terus melakukan perkara sebegini adalah keuntungan politik dan peribadi yang tidak akan sanggup dilepaskan, berbanding benar-benar mempertahankan apa yang dharuriy dalam muamalah kerja Islam ini. Hujah itu betul, namun digunakan di tempat dan keadaan yang salah. Hal ini samalah yang berlaku semasa konflik umat Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Ali, sewaktu pemberontakan puak khawarij yang mengangkat ‘sepanduk’, menghukum kedua-dua pemimpin umat Islam, Saidina Ali dan Saidina Muawiyah yang berperang dan akhirnya berdamai dalam peperangan Siffin, sebagai kafir. Saidina Ali dituduh dengan tuduhan kafir kerana tidak menghukum pembunuh Saidina Uthman bin ‘Affan, dan Muawiyah dituduh kafir kerana melawan pemerintah. Mereka mengangkat ‘sepanduk’ dengan memetik ayat Al-quran, “tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata saidina Ali,
ﺍﻠﺒﺎﻁﻝ ﺒﻬﺎ  ﺃﺮﻴﺪﻜﻠﻣﺔ ﺍﻠﺤﻖ  “. “Ia adalah perkataan yang benar, tetapi dimaksudkan dengan maksud yang batil (salah)”. Lihat, sedangkan yang berhujah menggunakan ayat al-quran pun boleh terpesong niat dan maksud disebalik hujah tersebut, apatah lagi yang menggunakan hujah akal dalam menjustifikasikan perbuatan. Setiap orang yang berjuang akan bersungguh mengatakan bahawa dialah yang berada di pihak yang benar. Namun, kata-kata Saidina Ali ketika ditanya oleh Ammar bin Yassir tentang siapakah yang berada di pihak yang benar sewaktu peperangan Siffin sedang meletus banyak menyedarkan saya tentang kebenaran ini. Tanya Ammar bin Yassir, “Wahai Saidina Ali, bagaimana saya boleh kenal siapakah yang benar? Di sebelah sana itu adalah Muawiyah, seorang sahabat Nabi s.a.w, juga penulis wahyu. Di sebelah sini pula adalah kamu, sepupu Nabi s.a.w, sahabat Nabi, malah menantu nabi. Yang manakah satu yang benar?”. Kata Saidina Ali ;
ﺗﻌﺮﻑ ﺍﻠﺤﻖ ﺑﺍﻠﺮﺠﺎﻞ ﻭﻠﻜﻦ ﺃﻋﺮﻑ ﺍﻠﺤﻖ ﺗﻌﺮﻑ ﺃﻫﻠﻪ “  
Maksudnya: “Janganlah kamu mengenal kebenaran dengan bersandarkan kepada si fulan dan sifulan. Akan tetapi kamu perlu mengenal dahulu akan kebenaran, maka kamu akan mengenali siapa yang benar

Saya suka sekali memetik kata-kata seorang ilmuan kontemporari ini, yang mengatakan, kita perlu meletakkan nas al-quran dan sunnah di hadapan kita, dan jangan meletakkan rasional dan akal melebihi nas, supaya kelak kita tidak digelar rasionalis. Walaupun ucapannya itu merujuk kepada suatu isu yang lain, saya ingin memetik pandangannya itu dan dikaitkan dengan perbahasan yang kita bincangkan sekarang. Kadang-kadang, malah sering juga berlaku, kita lebih suka melakukan sesuatu perkara berdasarkan rasional akal kita yang menilai, lalu, selepas itu barulah kita mencari-cari dalil yang mengharuskan atau mewajibkan perkara tersebut. Jarang sekali dapat dilihat kita melakukan sesuatu perkara itu kerana Allah dan RasulNya yang menyuruh, maka barulah dicari rasionalnya atau hikmah mengapa Allah dan Rasul memerintahkan sebegitu. Sememangnya Islam ini merupakan agama fitrah, iaitu segala perintah dan larangan Allah s.w.t dan sunnah baginda tidak bercanggah dengan rasional akal manusia. Namun, sebagai seorang muslim yang mukmin, kita sepatutnya mendahulukan perintah Allah dan Rasul melebihi segala-galanya untuk menandakan ketaatan kita yang total kepada Allah azzawajalla, dan RasulNya. Sekiranya diletakkan rasional itu melebihi nas, maka rasional manusia bisa sekali terbabas mengikut nafsu, maka kita mungkin akan melakukan sesuatu yang nafsu suka, tetapi mungkin dimurkai Allah s.w.t.

Saya tertarik dengan satu peristiwa ketika Ibn Taimiyah berdialog dan berhadapan dengan Raja Tartar bernama Qazan. Pada satu majlis, Raja Qazan tersebut menjamu sejumlah ulama dan tetamu yang hadir dalam majlis beliau dengan hidangan, namun Ibn Taimiyah tidak mahu makan. Lalu, Raja Tartar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?” Jawab Ibn Taimiyah, “Bagaimana hendak aku makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai. Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!” Kata Raja Qazan, “berdoalah untukku.” Kata Ibn Taimiyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun, jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya. Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tartar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka sejurus selepas itu. Lalu, Ibn Taimiyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?” Jawab mereka: “Kami bimbang jika raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami.” Sama-samalah kita berdoa moga kita tidak tergolong dalam kalangan ‘ulama yang menjaga jubah’ dalam peristiwa di atas.

Oleh itu, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan para pembaca, supaya kita letakkan satu perbatasan dalam kesungguhan kita memperjuangkan Islam, iaitu perbatasan dalam menimbang suatu perkara berdasarkan al-quran dan sunnah, supaya tidak berlaku Islam itu dijadikan alat, bukan matlamat. Jika dapat dikekalkan perbatasan ini dan ia tidak dilangkaui, maka, insyaAllah, perjuangan kita akan sentiasa di atas jalan yang benar. InsyaAllah.
Wallahua’lam.

DARUL QURAN JAKIM.
Ahad, 27 November 2011
11:36 PM

6 comments:

  1. dlm kita menyampaikan dan memastikan islam berada di atas sekali dan tiada yg lebih tinggi dpd islam..,kita menggunakn pelbagai platfrm yg ad..,cumanya kdg2 bilamana platform tersbut terlalu lama digunakan tanpa melalui proses muhasabah kembali akan tujuannya yg asal maka jadilah ISlam sebagai alat semata-mata....,moga2 sama2 kita merenung kembali akan tujuan kita yg asal,"Iqamatud deen wa siasatud dunia bih"...

    ReplyDelete
  2. Assalamualykum. Jazakallah.

    Byk perkara yg disentuh. ana nak komen pun dah bercampurbaur kat akal ni nak kena susun balek..

    Politik, apa maksud politik? Guna ikut konteks la. Apa yg enta nak maksudkan(arada bih)? Tapi yg anak nmpak, untuk konteks artikel ni, sesuai politik degn maksud 'kenegaraaan' atau 'pemerintahan' dan yg berhubung dengannya.

    Ana dh tak larat dngr org sikit2 kata: "politik ni maknanya luas..semua benda politik.."- dia mengambil politik dgn maksud 'pengurusan'. Kecenderungan ini biasanya ada pd org2 yg tidak ada budaya ilmu dan fikir, tak pandai 'mengurus makna'. Sebenarnya yg ada pd dia ialah 'kekeliruan nilai'-tak tahu menilai. well said, org begini memg tiada bdy berilmu.

    Raja, pndgn2 enta ni perlu dipertajam lagi. masih tumpul. masih longgar.Tak cukup bulat lagi.Pada pndgn ana la. namun tahniah.ada peningkatan.kena byk baca yg lebih berat, kerana yg lebih berat itu biasanya lebih dalam renungannya justru ia sukar difaham.Namun kuasa menilainya hebat. ana cabar enta. ntuk islam!

    ReplyDelete
  3. syukran syaibani. ana memang mengharapkan komen2 sebegini untuk ana lebih menajamkan pemikiran. mungkin nta boleh suggest kat sini bahan2 bacaan yg agak berat utk ana hadam, terutama soal politik ni. apa yg ana tulis adalah hasil pemahaman dan pembacaan ana pd beberapa bahan. dan ana tidak malu untuk mengubah pandangan ana pd sesuatu perkara andai perkara yg nk diubah tu benar. silakan terus mengutarakan cadangan.

    ReplyDelete
  4. ya ya.bgus tu. kita di dq perlukan apa yg kita sebut sbg 'kebangkitan semangat fikir dan ilmu'. alhamdu lillah trendnya skang memg nmpak ke arah itu.

    Baca ja tulisan ahli politik yg intelektual. Anwar, Mahathir, Dr. zulkifli Ahmad (PAS). Ustaz Mujahid Yusof pun ok. Kena pandai kenal ahli politik mana yg ok. Baca juga tulisan geng liberal PKR.kampung mreka di jalantelawi.com. Ada tulisan-tulisan politik di situ.

    Kita perlukan ahli politik yang memahami politik sebagaimana dikehendaki dgnnya. Yg pandai membaca zaman, membaca masyarakat.

    ReplyDelete
  5. Masya Allah..perkongsian menarik dengan kajian yang agak terperinci.syukran.

    abg tulis berdasarkan buku ape yang abg bace?

    boleh listkan x dengan nama pengarangnya sekali...

    ReplyDelete
  6. ana tak ada rujukan khusus. berdasarkan beberapa penelitian pada beberapa bahan asas seperti fi zilal, maza ya'ni, maallim fi at-torik dan beberapa lg. cuma, ana sgt berminat pandangan yg dilontarkan oleh prof. madya dr. mohd asri zainul abidin, dalam bukunya Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat. pandangan yg dilontarkan sgt segar dan seimbang..

    ReplyDelete