Wednesday, November 23, 2011

FAHAM VS SEMANGAT





Bismillah.


Alhamdulillah, segala syukur dipanjatkan ke hadarat ilahi, kerana masih lagi diberikan peluang oleh Allah s.w.t untuk jari ini terus menari dipentas maya, sekadar untuk mencoretkan sedikit cetusan pemikiran sebagai tatapan bersama. Moga-moga usaha yang sedikit ini bakal menjadi saham pahala sebagai bekalan di akhirat kelak.

Isu kali mungkin tampak biasa dan selalu dibicarakan oleh sesetengah orang, iaitu berkisar tentang soal dilema dalam kalangan dai’e, ahli gerakan Islam, para pejuang agama, dan mungkin juga bagi mereka yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dengan dunia perjuangan Islam. Bagi saya, perkara ini, walaupun dilihat seolah-olah picisan oleh sesetengah pihak, ia wajar dibincangkan kerana ia berkait dengan soal pendirian kita dalam mengutamakan sesuatu perkara yang dharuriy (mustahak), berbanding sesuatu yang tidak sesuai, yang akan menatijahkan hasil kepada tindakan yang dilakukan. Dilema tersebut adalah berkenaan aspek yang manakah yang menjadi keutamaan kita selaku muslim, mukmin yang menafkahkan diri demi Islam, untuk memastikan dakwah ini terus berkembang − persoalan antara kefahaman yang mendalam berkenaan hakikat Islam dan perjuangan yang akan menatijahkan tindakan dan pemikiran yang matang dalam berjuang dan usaha yang berterusan yang lahir dari kefahaman yang jelas, ataupun, aspek semangat semata-mata yang menebal dalam diri setiap pejuang dengan tanpa dilapisi kefahaman yang merisikokan hasil futurnya (berputus asa) seseorang pejuang agama itu.


Apabila persoalan ‘yang manakah keutamaan’ ini dilontarkan, maka sudah pasti, ramai yang akan terfikir, jawapan yang paling tepat untuk menjawab soalan ini ialah, sudah tentu sinergi antara kedua-dua aspek itu yang akan menjadi keutamaan dalam usaha menghasilkan out-put yang luar biasa kesannya. Ya, itulah jawapan yang paling tepat dan logik. Namun, disana, apakah ada jaminan bahawa semua orang yang bercakap dan berfikir secara logik itu boleh melaksanakan yang logik tersebut. Mungkin, tulisan ini akan dilihat sedikit skeptikal dan provokatif kerana mempersoalkan sesuatu yang sudah diketahui jawapannya. Namun, saya ingin membincangkan REALITI yang berlaku disekeliling kita semua, dan akan turut membincangkan kesannya terhadap pemikiran dan sikap yang diambil, supaya REALITI itu dapat diubah, sesuai dan sejajar dengan logik yang kita fikir dan perkatakan tadi.

Antara kedua-dua aspek yang dinyatakan tadi, tidak dapat dinafikan bahawa kedu-duanya penting dalam menggembleng tenaga dakwah. Namun, sering terjadi, terdapat beberapa golongan dakwah yang terlalu mengutamakan soal semangat semata-mata berbanding pamahaman yang jelas. Sedangkan dalam rukun bai’ah yang digariskan oleh as-syahid Imam Hassan Al-Banna, rukun yang pertamanya ialah al-fahmu, iaitu kefahaman. Untuk medapatkan sesuatu kefahaman, seseorang itu memerlukan kekuatan akal dan pemikiran untuk membaca, mentafsir dan menganalisis perkara yang sedang dihadapinya. 


Kekuatan akal itu pula, tidaklah boleh didapati melainkan melalui penguasaannya terhadap ilmu yang menjadi akar kepada sesuatu kebenaran. Antara masalah utama sesetengah ahli gerakan adalah, tidak suka kepada sesuatu bahan bacaan, samada yang ringan mahupun yang berat untuk difahami, sedangkan, antara perkara yang penting untuk diambil perhatian supaya dapat mewujudkan kekuatan akal dan pemikiran yang mantap dan kritis berfikir adalah pemahaman kepada sesuatu bahan bacaan yang kompleks dan berat untuk difahami, yang dimulakan dengan bahan yang ringan. Hal ini supaya, kelak, tindakan dan manhaj yang ingin diambil dalam pergerakan dakwah nanti, adalah berdasarkan penilaian dan timbangan yang matang datangnya dari cara berfikir yang kritis, malah, tindakan tersebut dilaksanakan bertepatan dengan pemahamannya dari nas-nas al-quran dan hadith. Dengan cara inilah dapat dipastikan bahawa perjuangannya dalam medan dakwah sentiasa berada di atas jalan yang betul. Ini kerana, sumber utama kita adalah al-quran dan sunnah. Sekiranya seseorang dai’e ataupun pejuang agama tidak dapat menguasai aspek ilmu yang menjadi teras untuk memberi keupayaan kepada akal supaya dapat mengekstrak hikmah ilmu yang terdapat di dalam al-quran dan sunnah ini, bagaimana mungkin dia boleh memastikan landasan perjuangannya, atau setidaknya uslub yang diambil untuk berjuang itu berada di jalan yang benar?

Kegagalan kita dalam benar-benar memahami kepentingan ilmu dan kefahaman inilah yang menyebabkan kadang-kadang berlaku perkara yang tidak sepatutnya bagi seorang Muslim yang bergelar dai’e ini. Maka, sering terjadi, dek kerana berjuang atas dasar semangat semata-mata, ada yang menggelarkan diri pejuang kebenaran atau digelar sebegitu, melakukan tindakan berdasarkan penilaian emosi dan kehangatan perasaan marah, walaupun dia tidak sebenarnya memahami apa yang dibantah atau diperlaungkan. Justeru, menatijahkan perlakuan peribadi yang bertentangan dengan apa yang telah ditentang atau yang dilaungkan semasa ‘bersemangat’ dan beremosi tadi, setelah selesainya sesi bantahan  ceramah, atau pidatonya tentang apa yang ditentangnya. Sehinggakan, ada yang sanggup ‘bertumpah darah’ pada perkara yang tidak kena pada tempatnya. Inilah akibat ketidak fahaman kita dalam content apa yang diperjuangkan, sehinggakan kita melupakan aspek akhlak yang sering ditekankan Rasulullah s.a.w, selain menegakkan prinsip kebenaran.

Contoh yang mudah untuk dibawa di sini ialah, ada muslim dai’e yang akan sanggup dan bersemangat berpanas dan berhujan demi menyertai demonstrasi untuk membantah sesuatu isu, tidak kira samada isu agama, politik, ekonomi mahupun sosial. Tetapi semasa berdemonstrasi, aspek percampuran lelaki dan perempuan sudah tidak dihiraukan, atas alasan dan hujah maslahah yang lebih besar perlu dijaga, iaitu untuk membela kebenaran yang dituntut agama. Selepas letih berdemonstrasi pula, pulang ke kediaman masing-masing dan berehat sehingga luput waktu solat. Maklumlah, semasa berdemonstrasi, tiada masa hendak menunaikan solat kerana terlalu ‘sibuk’ bertempik, bertakbir dan melaungkan slogan-slogan keadilan dan kebenaran, sedangkan, takbir yang asas dalam solat tidak dilaksanakan. Inilah kesan kegagalan dalam mempunyai kefahaman yang tuntas sebelum melakukan sesuatu tindakan, seterusnya mengakibatkan kepincangan sikap. Bukanlah contoh yang diberikan ini bertujuan untuk menolak atau menghentam demonstrasi. Saya sendiri bersetuju dengan demonstrasi selagi apa yang diperjuangkan itu adalah berkisar dalam kebenaran dan keadilan yang terkandung dalam ajaran Islam. Soalnya adalah sikap kita dalam memahami intipati sebenar perjuangan itu, berdasarkan al quran dan sunnah, dan seterusnya melaksanakan apa yang kita tekan dan perjuangkan.

Terlalu banyak contoh untuk saya kemukakan berkenaan kepincangan sikap yang lahir daripada prinsip perjuangan peribadi berdasarkan semangat semata-mata ini. Contoh kedua dan terakhir yang mungkin boleh saya bawakan, yang sering terjadi ialah, apabila sesetengah daripada kita sering melaung-laungkan soal kepentingan biah solehah (suasana yang baik), penjagaan ikhtilat atau muamalah antara berlainan jantina, namun sebaliknya terjadi kepada yang melaung-laungkan itu. Orang yang perjuangkan aspek itu pula melebih-lebih dalam berhubung dengan berlainan jantina. Hal ini pernah saya sebutkan dalam artikel sebelum ini bertajuk “Sikap Para Dai’e; Suatu Renungan”. Ini antara contoh ketidak fahaman pada manhaj, prinsip dan dasar kepada apa yang diperjuangkannya. Ini kerana, yang bersikap begini hanya suka taqlid (mengikut) sahaja apa yang rakan seperjuangannya perkatakan semasa dalam liqa’, usrah, talk atau ceramah, tanpa ia memahami secara mendalam pelaksanaan perkara tersebut supaya dapat ia sendiri amalkan sebagai satu cara hidup. Bak kata sesetengah ilmuan, ‘berprinsip jangan jumud, terbuka jangan hanyut’. Inilah Islam. Sentiasa mengutamakan suasana yang kondusif, dalam hal ini, sikap wasotiy (pertengahan) yang kita ambil, supaya kelak, tiada yang menempelak — samada kerana terlalu tegas, akhirnya tersungkur, atau kerana terlalu selekeh, akhirnya mengundang fitnah pada Islam atau gerakan.

Wallahua’lam.  

Darul Quran JAKIM
24/11/2011
3:00 PM

No comments:

Post a Comment