Monday, November 28, 2011

ISLAM ITU MATLAMAT, BUKAN ALAT




                                                                           Bismillah.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan Sekalian Alam, kerana dengan keizinan dari Nya, saya masih dapat menulis pada kali ini. Semoga usaha ini masih lagi dikira sebagai usaha jihad untuk setidaknya membantu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini, insyaAllah.

Kali ini saya tertarik untuk membahaskan berkenaan suatu perkara yang saya fikir penting untuk kita sama-sama faham, supaya cara dan niat kita untuk terus istiqamah dalam iman dan perjuangan Islam terhindar dari sebarang unsur dan anasir yang tidak bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya.

Dewasa ini, kita semua dapat menyaksikan bahawa, semakin ramai individu malah masyarakat muslim samada dalam negara ini mahupun negara luar sudah mempunyai kesedaran Islam dalam diri dan jiwa mereka, sehingga semakin ramai yang mula mahu mendekati gerakan-gerakan pembaharuan (tajdid) samada dalam soal politik, agama mahupun aspek lain. Apabila berbicara soal gerakan tajdid, dapat dikatakan bahawa bukan semua gerakan tajdid itu merupakan islah, tetapi setiap islah itu adalah tajdid. Ini kerana, islah adalah usaha kearah mengembalikan umat Islam ke landasan ajaran Islam yang sebenar, dalam erti kata lain, ia adalah soal dalaman umat Islam yang berkait rapat aspek agama (secara literalnya). Namun tajdid ini satu perkara yang umum. Boleh jadi tajdid itu berlaku dalam kerangka politik, ekonomi, agama, sosial, budaya, teknologi dan banyak lagi. Dek kerana gerakan pembaharuan ini semakin meresap ke dalam jiwa setiap masyarakat, tidak kira mereka itu muslim atau tidak, maka kita dapat menyaksikan rejim-rejim yang kuat dapat ditumbangkan oleh rakyat mereka sendiri dengan kekuatan kesedaran tajdid ini dalam minda sedar mereka. Untuk menggerakkan tajdid, kita mestilah menggunakan setiap medium dan saluran yang ada, dan saluran tersebut mestilah optimum kesannya untuk memastikan mesej tajdid itu tersampai kepada setiap individu masyarakat. Justeru, Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Kahfi, ayat 83 hingga 85, maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulqarnain. Katakanlah, ‘akan kubacakan kepadamu kisahnya. Sungguh, Kami telah memberi kedudukan kepadanya di bumi, dan Kami telah memberikan jalan kepadanya (untuk mencapai) segala sesuatu. Maka dia pun menempuh suatu jalan”. Antara yang diterangkan dalam ayat tersebut adalah, Zulqarnain mengikuti jalan (asbab) yang ditunjukkan oleh Allah azzawajalla, sehingga menjadikan beliau dapat menguasai sebahagian besar peta dunia pada ketika itu. Justeru, kita juga perlu mengikut sebab atau asbab  yang Allah s.w.t tunjukkan kepada kita supaya dapat kita kuasai pemikiran kebanyakan masyarakat dunia, dekat kepada kebenaran Islam. Antara banyak aspek yang ada pada ketika ini untuk dijadikan ‘asbab’ itu, yang kuat pengaruhnya adalah politik.

Wednesday, November 23, 2011

FAHAM VS SEMANGAT





Bismillah.


Alhamdulillah, segala syukur dipanjatkan ke hadarat ilahi, kerana masih lagi diberikan peluang oleh Allah s.w.t untuk jari ini terus menari dipentas maya, sekadar untuk mencoretkan sedikit cetusan pemikiran sebagai tatapan bersama. Moga-moga usaha yang sedikit ini bakal menjadi saham pahala sebagai bekalan di akhirat kelak.

Isu kali mungkin tampak biasa dan selalu dibicarakan oleh sesetengah orang, iaitu berkisar tentang soal dilema dalam kalangan dai’e, ahli gerakan Islam, para pejuang agama, dan mungkin juga bagi mereka yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dengan dunia perjuangan Islam. Bagi saya, perkara ini, walaupun dilihat seolah-olah picisan oleh sesetengah pihak, ia wajar dibincangkan kerana ia berkait dengan soal pendirian kita dalam mengutamakan sesuatu perkara yang dharuriy (mustahak), berbanding sesuatu yang tidak sesuai, yang akan menatijahkan hasil kepada tindakan yang dilakukan. Dilema tersebut adalah berkenaan aspek yang manakah yang menjadi keutamaan kita selaku muslim, mukmin yang menafkahkan diri demi Islam, untuk memastikan dakwah ini terus berkembang − persoalan antara kefahaman yang mendalam berkenaan hakikat Islam dan perjuangan yang akan menatijahkan tindakan dan pemikiran yang matang dalam berjuang dan usaha yang berterusan yang lahir dari kefahaman yang jelas, ataupun, aspek semangat semata-mata yang menebal dalam diri setiap pejuang dengan tanpa dilapisi kefahaman yang merisikokan hasil futurnya (berputus asa) seseorang pejuang agama itu.

Monday, November 7, 2011

SIKAP PARA DAI'E ; SUATU RENUNGAN


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, kali ini diizinkan oleh Allah s.w.t untuk jari-jari ini menari sekali lagi di atas pentas media di ruang yang terhad ini. Bukanlah tulisan kali ini untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati, tetapi sekadar terapi pemikiran supaya kita sama-sama berfikir sejenak tentang keadaan persekitaran kita yang berlaku saban hari, rutin harian kita selaku pemegang gelaran Muslim dan Mukmin. Dalam kesibukan kita berbicara tentang keadaan di Mesir yang mana rakyatnya telah berjaya menggulingkan Hosni Mubarak, seorang presiden yang menindas serta kuku besi, kebangkitan rakyat di Yaman, Algeria, kejayaan rakyat di Tunisia, kezaliman Muammar  Gaddafi menyuraikan perhimpunan rakyat dengan menggunakan kekuatan tentera yang berlaku di Libya serta kematiannya, dan peperangan yang berlaku di Thailand, kita memerhatikan pelbagai jenis dan ragam reaksi orang kita dalam mengulas dan merespon isu yang berlaku. Ada yang menyokong, ada yang sedikit kritis, malah tidak kurang yang langsung tidak ambil peduli. Namun, bukanlah tulisan ini bertujuan untuk membahaskan isu-isu yang berlaku darsawarsa ini. Cumanya, tulisan kali ini mungkin ingin menerobos beberapa kelompangan yang sering kali diperkatakan membelenggu pemikiran serta sikap para dai’e, yang mungkin mempunyai beberapa perkaitan dengan isu-isu yang disebut.


Baru-baru ini, saya telah membaca satu diskusi berkenaan satu perkara yang dibangkitkan dalam sebuah laman sosial kumpulan dakwah, membincangkan tentang isu masalah sikap dalam kalangan para dai’e. Diskusi itu menjadi semakin menarik dan ‘panas’