Monday, November 7, 2011

SIKAP PARA DAI'E ; SUATU RENUNGAN


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, kali ini diizinkan oleh Allah s.w.t untuk jari-jari ini menari sekali lagi di atas pentas media di ruang yang terhad ini. Bukanlah tulisan kali ini untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati, tetapi sekadar terapi pemikiran supaya kita sama-sama berfikir sejenak tentang keadaan persekitaran kita yang berlaku saban hari, rutin harian kita selaku pemegang gelaran Muslim dan Mukmin. Dalam kesibukan kita berbicara tentang keadaan di Mesir yang mana rakyatnya telah berjaya menggulingkan Hosni Mubarak, seorang presiden yang menindas serta kuku besi, kebangkitan rakyat di Yaman, Algeria, kejayaan rakyat di Tunisia, kezaliman Muammar  Gaddafi menyuraikan perhimpunan rakyat dengan menggunakan kekuatan tentera yang berlaku di Libya serta kematiannya, dan peperangan yang berlaku di Thailand, kita memerhatikan pelbagai jenis dan ragam reaksi orang kita dalam mengulas dan merespon isu yang berlaku. Ada yang menyokong, ada yang sedikit kritis, malah tidak kurang yang langsung tidak ambil peduli. Namun, bukanlah tulisan ini bertujuan untuk membahaskan isu-isu yang berlaku darsawarsa ini. Cumanya, tulisan kali ini mungkin ingin menerobos beberapa kelompangan yang sering kali diperkatakan membelenggu pemikiran serta sikap para dai’e, yang mungkin mempunyai beberapa perkaitan dengan isu-isu yang disebut.


Baru-baru ini, saya telah membaca satu diskusi berkenaan satu perkara yang dibangkitkan dalam sebuah laman sosial kumpulan dakwah, membincangkan tentang isu masalah sikap dalam kalangan para dai’e. Diskusi itu menjadi semakin menarik dan ‘panas’
apabila terdapat beberapa komen yang agak tidak bersetuju apabila dibangkitkan mengenai situasi yang berlaku kepada sesetengah pendakwah yang diuji dengan masalah hati, dalam konteks ini ialah berkenaan perhubungan antara Muslimin dan Muslimat. Antara contoh situasi yang dikemukakan ialah perlakuan sesetengah pendakwah yang menggunakan alasan berbincang tentang gerak kerja sebagai ‘kain alas’ untuk sentiasa berhubung saban hari, menyaksikan sepasang ahli dakwah ber ‘SMS’ pada jam tiga empat pagi dengan alasan mengajak qiyamullail (konon), berbincang tentang perkara-perkara yang tidak penting termasuklah soal peribadi, hati dan perasaan dan banyak lagi  perkara yang berlaku pada pendakwah yang tidak sanggup untuk diungkapkan di sini. Dalam diskusi tersebut, ada yang mengutarakan komen bahawa, “kita tidaklah boleh menghukum para  dai’e, kerana mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan, dan anggaplah mereka sebagai orang yang sentiasa tercari-cari arah dan perlu sentiasa dibimbing. Perlulah dilihat mereka ini dengan pandangan mata hati dan bukan pandangan mata kasar – selami perasaan mereka”. Ada juga komen yang berbunyi begini, “janganlah over sangat...nanti, bila dah kena pada diri sendiri, terjelopok jatuh lebih daripada orang yang tak mengaji agama..”. Malah, ada juga yang membalas komen tersebut dengan mengemukakan hujah bahawa, “tidaklah bermakna sekiranya dibangkitkan sesuatu isu itu, bermaksud untuk menghukum. Contohnya, kita (para pendakwah dan ahli gerakan) akan lantang membangkitkan isu-isu nasional yang melanda Negara atas platform untuk membela nasib rakyat, menegakkan kebenaran dan sebagainya, dengan tanpa disedari, kita sebenarnya sedang ‘menghukum’ pihak yang bertanggungjawab dalam isu tersebut. Tetapi, soalnya mengapa tiada pula yang mengatakan bahawa kita sedang menghukum pihak tersebut, dan tidak boleh menghukum, tetapi perlulah difahami keadaan pihak yang terlibat dengan melihat melalui pandangan mata hati? . Tetapi, apabila tiba kepada kes ini, dikatakan menghukum... Konteksnya sama, situasi yang berbeza”. Justeru, katanya, “tidak timbul soal menghukum, dan isu yang dibangkitkan sekadar untuk memberi teguran dan peringatan...” Ataupun, kita sering melaung-laungkan berkenaan pentingnya pihak pimpinan sesuatu organisasi menggunakan apa sahaja cara, mengikut arus teknologi semasa untuk mendengar keluhan dan luahan ahli bawahan. Tetapi, apabila ahli di bawah pimpinan kumpulan itu sendiri yang kononnya kumpulan itu bersifat Islamik, membangkitkan sesuatu di laman-laman sosial untuk diperbincangkan atau untuk diambil perhatian dengan dibaca oleh pihak pimpinan, maka ahli itu dikatakan cuba menentang atau tidak beradab dengan pimpinan, dan banyak lagi hujahan yang digunakan untuk menidakkan tindakan tersebut.


Ya, satu tajuk diskusi yang menarik untuk diperbincangkan. Menarik kerana kesemua tadi mencerminkan sikap dan cara berfikir yang ada pada sesetengah ahli dakwah. Saya tidaklah berminat untuk turut sama membahaskan isu yang dibangkitkan, kerana akan jadi lebih panjang dan rumit skop perbahasannya. Namun poin utama yang boleh kita nilai daripada contoh diskusi yang telah saya utarakan di atas adalah, cara sesetengah ahli dakwah dan ahli gerakan Islam dalam berfikir dan mersepon sesetengah isu. Lazimnya, kita akan mudah memperkatakan berkenaan sesuatu perkara dengan lantang, andainya perkara itu tidak ‘kena atas batang hidung’ kita sendiri, tetapi akan bersikap samada pasif, defensive atau negatif berhubung isu yang dibangkitkan yang tampak menghentam diri sendiri, atau pun pihak yang kita sokong.


Perkara ini bolehlah dikatakan sebagai sikap double-standard yang berlaku dalam kalangan sesetengah ahli dakwah. Secara asasnya, sikap ini adalah tidak elok, apatah lagi dilakukan oleh mereka yang bergelar golongan agama. Bukankah Allah s.w.t telah memberi amaran berkenaan sikap ini, dalam surah As-saff, firman Allah s.w.t, maksudnya; “besar kemurkaan di sisi Allah bagi sesiapa yang mengatakan apa yang tidak dia lakukan”. Sikap double-standard sering manunjukkan kepada kita, bahawa pelakunya tidak mengikuti apa yang ia sendiri perkatakan dan apa yang ia letakkan hukumnya pada orang lain.
Walaubagaimanapun, dari suatu aspek, sikap ini dibolehkan. Jika kita lihat dari sudut penentuan hukum-hukum dalam Islam, terdapat sifat-sifat yang menunjukkan seolah-olah double-standard berlaku. Namun, itulah ‘double-standard’ yang dibenarkan, kerana ianya memberi manfaat kepada Islam, dan umat Islam sendiri. Antara contoh yang boleh saya sertakan di sini adalah pengharaman arak yang terdapat di dalam Al-quran, surah Al-baqarah ayat 219, maksud firman Allah; “mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dari ayat ini jelas Islam sentiasa mengajar kita untuk memperhati hasil kesan baik dan buruk dari sesuatu perkara. Neraca kebaikan dan keburukan pula disandarkan kepada kandungan Al-Quran serta Al-Hadis, bukan hawa nafsu. Dengan cara ini, kita boleh mengenalpasti hukum atau pendirian Islam terhadap sesuatu tindakan termasuk soal double standard. Jika perlakuan double-standard itu membawa kebaikan terutamanya kepada Islam, maka ia wajar, tetapi jika tidak membawa kebaikan, malah memalitkan lumpur fitnah kepada gerakan Islam, ahlinya atau Islam itu sendiri, sudah tentu tidak wajar. Justeru, atas pertimbangan apakah yang membolehkan sesetengah ‘pejuang agama’ berlaku double standard semata-mata untuk membela diri mereka terhadap apa yang mereka sendiri perkatakan?

     Sikap sebeginilah yang perlu sama-sama kita hindar, supaya mereka yang baru nak mula berjinak-jinak dengan biah(suasana) Islamik mudah menerima dakwah yang disampaikan. Janganlah kerana kepincangan sikap sesetengah kita menyebabkan perjuangan dakwah itu menjadi pincang juga. Janganlah sikap yang kita sangka soal kecil yang tak perlu dihebohkan itu menjadi asbab kepada liarnya sasaran dakwah. Cukuplah masalah yang dibawa oleh penentang Islam dan dakwah ini, janganlah kita tambahkan lagi maslalah yang sedia ada dengan kedegilan sikap kita. Kehadiran kita ke medan ini adalah untuk menyempurnakan satu sama lain. Namun, jika terdapat sekeping dari papan-papan pagar tembok yang dibina itu lompong, bagaimana ingin kita harapkan pagar yang dibina itu dapat menjaga apa-apa di sebelah dalamnya?. Cukuplah setakat ini. Wallahua’lam. 

2 comments:

  1. Pendakwah masa kini perlukan pemikiran dan ilmu yang kuat, untuk membaca ruang dan zaman letakduduknya, sebelum bertindak. Masalah kita ialah tak mahu mengenal terus saja gopoh beertindak.Ini prinsip paling asas. Kalau ini setel insha allah tak terjadi isu couple daei nih

    ReplyDelete
  2. Soal ilmu cukup2 penting bagi para pendakwah. ilmu itu jugak merangkumi pemahaman pada perkara yang bersifat fundamental dalam Islam, termasuk soal hati. ada yang berbicara, perbincangan berkenaan pemasalahan akan melambatkan kemenangan malah gerak kerja gerakan Islam, namun, tanpa disedari, keengganan berbincang berkenaan perkara sebegitu itulah punca gerakan terbantut..

    ReplyDelete