Wednesday, October 12, 2011

CINTA SANG MUJAHID...

          


            Alhamdulillah, segala kepujian dipanjatkan ke hadrat Ilahi, atas kurniaan-Nya, dapat lagi kita menghirup udara segar kurniaan Allah s.w.t.. Tatkala saudara kita di daerah dan tempat lain sedang menderita kelaparan kerana kemiskinan, ataupun menderita kesakitan kerana kesan peperangan, ataupun mederita jiwanya kerana tekanan dan kesempitan himpitan kehidupan yang semakin kejam, kita masih lagi dipilih oleh Allah ‘azzawajalla untuk menjadi insan-insan yang bernasib baik, lebih sedikit berbanding mereka. Namun, benarlah firman Allah s.w.t. bahawa sangat sedikit hamba-hamba-Nya yang bersyukur, kaki masih lagi berat untuk menjejakkan kaki ke majlis ilmu, tangan masih lagi berat untuk menginfakkan harta ke jalan dakwah, dan mata masih lagi kuyu dan layu menatap ayat-ayat dan tanda kekuasaan Allah s.w.t.. Maka sewajibnya kita bersyukur dengan nikmat yang tidak terhitung ini.

“Ustaz, saya buntu memikirkan bagaimanakah caranya untuk melembutkan hati ibu dan bapa saya yang degil, enggan membenarkan saya bertunang, apatah lagi berkahwin semasa belajar. Sedangkan kami sudah sama-sama saling menyukai dan saya rasa, dia sangat sesuai dengan saya, dan ayah saya pula ilmu agamanya bukan calang-calang. Bukannya kami nak kahwin terus pun, cuma sekadar ‘cop’ saja dulu. Dah habis belajar nanti, barulah kami fikir macam mana perancangan seterusnya…”

“Aku ni umur dah makin meningkat… study pun dah nak habis… dah habis nanti, nak sambung lagi atau nak terus kahwin? Nak kahwin, duit pula tiada… tapi, keinginan tu ada. ‘Si dia’ pula, gayanya macam dah bagi green light. Tapi, aku pun tak pasti, kalau dia dah ada orang lain macam mana pula? Hmm, susahlah macam ni...”


              Dialog dan monolog ini mungkin biasa kita dengar, diluahkan oleh mereka yang dalam dilema, yang mengalami konflik dalaman diri, jiwa yang sentiasa berbolak balik, keluh kesah, kerana memikirkan bahawa mungkin ‘masa’ mereka telah sampai, iaitu ke satu tahap yang lain dalam fasa kehidupan mereka – alam mempunyai pasangan atau berumah tangga.  Dialog ini, bisa juga kita dengar keluar dari mulut mereka yang sedang berada di tahun akhir pengajian di universiti atau di IPT.  Dalam keadaan kesibukan belajar semakin bertambah, bebanan tesis yang semakin memuncak, gerak kerja persatuan yang semakin menimbun, dengan kepelbagaian jawatan yang dipegang, jadual seharian yang semakin padat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Beban pemikiran ditambah pula dengan satu lagi aspek yang kononnya akan melengkapkan diri mereka sebagai pejuang ilmu di medan jihad  ini, iaitu mempunyai seseorang yang ‘istimewa’ untuk dikongsi dan berkongsi perasaan dan pengalaman yang ada. Kata mereka, segala tekanan ini dapat dilepaskan dengan adanya kehadiran seseorang yang bernama suami atau isteri sebagai penyejuk jiwa, penenang minda, tatkala segala kondisi yang dialami dalam fatrah pengajian ini adalah kondisi yang memberi tekanan tinggi. Ada juga yang memberi hujah, bahawa zaman pengajian inilah merupakan salah satu peringkat usia, masa dan keadaan yang terbaik bagi mencari pasangan, kerana dikira berada di dalam lingkungan yang lebih banyak potensi kafa’ah dan sekufu dalam pencarian itu. Masakan tidak, kedua-duanya sudah selesa berada di dalam bi’ah solehah yang menjadi suasana idaman untuk diwujudkan dalam baitul muslim yang ingin dibina kelak. Maka pencarian perlu dilakukan dengan mencari mereka yang saling meredhai suasana tersebut, terutamanya bagi mereka yang ingin beriltizam dengan landasan syariat Islam yang sebenar. Jika berdua-duaan menggendong pasangan ke hulu ke hilir dianggap salah, apa lagi alternatif yang ada untuk mencari teman berkongsi rasa dan jiwa?

           Ini adalah di antara alasan-alasan dan hujah yang dilontarkan oleh mereka yang sedang mengalami dilema dan konflik dalaman ini. Bukanlah niat penulis untuk menyanggah semua hujah yang diberikan, kerana semua itu ada logik dan benarnya. Namun, penulis ingin mengajak para pembaca yang budiman sekalian supaya memikirkan isu ini dari satu aspek yang berbeza, iaitu punca kenapa segala perasaan, dilema, kekeliruan, dan persimpangan ini timbul dalam kelompangan pemikiran golongan pelajar yang lebih difokuskan kepada mereka yang sedang berada di tahun akhir pengajian. Kerana bagi mereka, tahun akhir pengajian adalah satu tahap bahawa mereka sudah perlu memikirkan masa depan mereka dalam alam perkahwinan.

           Jika hendak diselidiki sedalam-dalamnya pemasalahan ini, pasti kita akan temui banyak faktor yang mendorong kepada timbulnya perasaan dan segala dilema yang menyelubungi benak fikiran golongan pelajar tahun akhir ini. Namun, penulis ingin menerobos salah satu faktor yang dikira boleh menjadi punca utama isu ini, iaitu faktor perhubungan yang berlaku antara muslimin dan muslimat, lelaki dan perempuan, banin dan banat atau apa jua gelaran yang ingin kita berikan kepada dua genre jantina ini, yang menjurus kepada timbulnya segala kekeliruan perasaan ini. Pada pandangan penulis, perkara inilah yang sebenarnya mendorong perasaan ingin mengasihi dan dikasihi itu timbul, natijah kepada segala perbualan, perbincangan dan diskusi yang berlaku tidak kira samada semasa bergerak kerja, berprogram, di dalam sesi pembelajaran, dan mungkin juga secara kebetulan, yang akhirnya mencetuskan zhonn di mana masing-masing menganggap mereka sesuai di antara satu sama lain kerana sudah saling memahami sepanjang bergerak kerja dan sebagainya. Secara tidak langsung, dalam sedar atau tidak, kesinambungan sinergi sepanjang bergerak kerja itu, seolah-olah memberi harapan kepada masing-masing, bahawa mungkin inilah yang dinamakan takdir dan jodoh. Lihat, bermula daripada sebuah perhubungan yang professional dalam urusan gerak kerja, menjurus kepada satu perhubungan yang melibatkan perasaan. Kita ambil contoh situasi ini; ketua (lelaki) dan timbalan (perempuan) dalam sesebuah organisasi dakwah, saling berbalas SMS, berhubung kerana kerja. Dalam fatrah bergerak kerja itu, pada awalnya, masing-masing masih lagi tegas dan syadid dalam menjaga batas perhubungan dan pergaulan. Lama-kelamaan, ayat-ayat dan kata-kata yang diungkap semakin berbunga-bunga dan manja, kerana kedua-duanya merasakan sudah serasi bersama dalam bekerja. Secara tidak sedar, masing-masing (yang masih lagi malu-malu kucing untuk menyatakan hasrat yang terpendam, lafaz yang tersimpan), mengungkapkan bait-bait kiasan pengharapan supaya ‘si dia’ faham akan maksud yang tersirat di hati. Justeru, terjadilah situasi yang mana, mereka menjadikan perjuangan gerak kerja dalam agama sebagai alasan untuk terus berhubung, seolah-olah menjadikan agama sebagai bahan senda. Akhirnya, kita akan dapat menyaksikan sepasang ahli dakwah berbalas SMS pada jam empat pagi dengan alasan mengajak qiyamullai (konon), hinggalah kepada terjebaknya anak muda hafiz dan hafizah ke dalam kancah zina. Ya, menggerunkan. Dan ia banyak berlaku apabila agama cuba difahami dan diamalkan dalam bentuk yang tidak kena dengan kemanusiaan manusia.

“Korang asyik duk bergayut telefon sampai tengah malam ni, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Amir kepada rakan sebiliknya.
“Kami bincang bab persatuanlah, jangan buruk sangka pulak. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun kau tak tahu?” balas Azam. Keras dan marah bunyinya. Terganggu dengan teguran Amir barangkali.
“Alaa, jangan la syadid sangat! Kau jangan cakap banyak la. Nak tunjuk alim konon. Kalau dah kena kat kau baru kau tahu. Jangan hipokrit la...” bentak Siti, berasap telinga, bengang kerana ditegur Nurul.

          Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perbuatan mereka, atau lebih parah, menghalalkan perbuatan yang memang nyata haram di sisi agama, terutamanya golongan agama. Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak-dalik dengan mencari alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas pergaulan ini.

“Kamu tak baca ke apa yang dihantar dalam SMS ni? Dia hantar hadis kau tau tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’ . Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima SMS pada jam lima pagi tentang fadhilat qiyamullail daripada jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya semua itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak. Bermain-main dengan Tuhan. Sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita menjaga batas ini adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya. Ia itulah soal HATI!

             Memang tidak dinafikan, bahawa perasaan yang timbul ini merupakan satu fitrah yang Allah campakkan ke dalam jiwa setiap mereka yang bergelar insan. Tidak normal sesorang itu andai tidak ada perasaan langsung dalam perkara sebegini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan kamu semua terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu saling mengenali…”. Islam merupakan agama fitrah, tidak menentang dan tidak juga menolak fitrah. Namun, fitrah ini perlu diuruskan dengan panduan iman dan akal yang waras, bukan dengan dorongan nafsu dan kecelaruan pemikiran juga perasaan, yang mana jiwanya itu sebenarnya kegersangan zikrullah, lalu digunakan alasan mahu berpasangan kerana ingin melengkapkan sebahagian daripada iman seseorang Muslim bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w.. Penulis bukanlah ingin menolak perkara yang menjadi impian dalam kehidupan setiap manusia ini, tetapi sekadar ingin mengajak kalian berfikir dan mencerna minda, supaya menimbang sesuatu perkara secara fully cooked dan tuntas lahirnya dari kefahaman tentang risiko dan cabaran yang bakal dihadapi. Perkara ini penting untuk difahami supaya tindakan dan keputusan yang diambil itu berasaskan rasional akal yang kukuh, pemikiran matang yang benar-benar mampu menghadapi cabaran besar yang bakal mendatang, yang sangat menguji kesabaran dan keimanan itu. Bukannya dengan pemikiran kebudak-budakan yang hanya suka-suka mahu berkasih cinta monyet dan beruk yang selalunya berakhir dengan tergantungnya komitmen itu, kerana monyet dan beruk sifatnya suka bergayut dan tergantung. Ingat, kita bukan beruk mahupun monyet, tetapi kita merupakan sebaik-baik makhluk yang Allah s.w.t. ciptakan, dibekalkan dengan akal dan iman sebagai panduan hidup. Komitmen ‘atas angin’ yang dibina hasil dari ketidakmatangan pemikiran yang tidak memikirkan pengakhiran dalam sesuatu permulaan – not to begin with the sense of ending in mind, akan mengakibatkan risiko kekecewaan dan berupaya mengundang bahaya yang lebih besar mudaratnya, lebih besar berbanding mengekang nafsu di usia muda ini.

              Perlu diingatkan di sini, tujuan artikel ini dinukilkan bukan bertujuan untuk menyekat apa-apa, atau menghentam sesiapa. Tetapi, untuk membetulkan pemikiran kita daripada memahami agama secara robotik dan kaku, kepada sebuah pemahaman yang lebih luas dan berpijak kepada realiti, bukannya berada di awangan seperti nukilan novel-novel cinta yang walaupun Islamik, kadang-kadang menyebabkan pembacanya khayal dan berfantasi di alam yang tidak nyata. Sama-samalah kita fikirkan. FIKIR DAN ZIKIR.

No comments:

Post a Comment