Tuesday, January 17, 2012

RAWAT HATINYA, BANGUNLAH INSAN

Bismillah.

Alhamdulillah, syukur saya panjatkan kepada Allah s.w.t kerana saya masih diberikan peluang dan idea untuk terus menukilkan coretan di ruang ini.

Pada kali ini, saya berhasrat untuk membincangkan tajuk ini dalam keadaan santai, dan tidak terlalu berat. Tajuk yang saya fokus kali ini adalah berkenaan hati.Tajuk ini juga, tampak seperti pernah dan biasa digunakan dalam kebanyakan situasi dan perkara. Malah, pernah satu ketika, di saluran Astro Oasis, pernah diterbitkan satu rancangan yang sama tajuknya dengan tulisan ini. Perbincangan rancangan bual bicara itu berkisar tentang hati dan cara untuk merawatnya.

Timbul di benak pemikiran, mengapa perlunya merawat hati? Apa pentingnya hati? Kenapa segalanya dikaitkan dengan hati? Kenapa hati mudah berubah? Apa cara dan jalan nak bersihkan hati?
Mungkin, bagi sesetengah daripada kita sering tertanya-tanya akan persoalan ini di minda dan tercari-cari akan jawapannya. Bagi yang sedikit rajin dan punya kelebihan masa dan ilmu, mereka akan mengkaji dan mencari. Namun, sering juga dalam pencarian tersebut, tidak ketemu akan jawapan dan penyelesaian yang memuaskan hati.

Secara ringkas, di ruangan ini, saya ingin berbicara dan sama-sama bermuhasabah tentang hati. Sabda Rasulullah s.a.w;
و عن أبي هريرة عبد الرحمن بن صخر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم, " إن الله لأ ينظر إلى أجسامكم, و لأ إاى صوركم, ولكن ينظر إلى قلوبكم (و أعمالكم)
 رواه مسلم
Maksudnya: Dari Abu Hurairah Abdurrahman Ibn Shakhr r.a, dia berkata, “Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad-jasad dan rupa-rupa kamu, akan tetapi Dia memandang kepada hati dan (amal-amal kamu). (H.R Muslim)

Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albany, ketika menjelaskan hadith ini, point yang terakhir dalam hadith ini adalah penting kerana, hadith ini sering digunakan oleh sesetengah mereka yang meninggalkan suruhan dan ketetapan syariat, tetapi berhujah dengan mengatakan perkara itu (syariat) tidak penting melainkan dilihat kepada hati manusia itu. Hal ini adalah tidak tepat, maka oleh sebab itu, kayu ukur “amal-amal soleh” perlu diletakkan dalam menjelaskan hadith di atas. Malah, perkara ini sering juga berlaku dalam masyarakat kita apabila ditanya kenapa tidak tutup aurat umpamanya, maka mereka akan berkata jangan dilihat kepada penampilan mereka, tetapi hati itu lebih penting. Sedangkan mereka tidak sedar, bahawa apa yang terbuku dan tersemat di hati itu akan terbit pada peribadi seseorang individu. Bak kata ulama’, hati ini umpama cermin. Ia akan memantulkan apa yang terbentuk di dalam diri seseorang. Jika cermin itu bersih dan bentuk yang terhasil di hadapannya juga adalah baik, maka baiklah pantulannya. Begitulah sebaliknya jika hati itu kotor. Hal ini berkait rapat dengan satu lagi hadith nabi s.a.w, maksudnya:
“….ingatlah sesungguhnya di dalam jasad itu ada segumpal darah. Apabila ia baik maka baiklah pula jasad secara keseluruhan. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah pula jasad secara keseluruhan. Ingatlah ia itu ialah hati

Sahabat-sahabat, hati manusia ini fragile sifatnya. Sangat rapuh. Dek kerana itulah, manusia sering tertipu oleh hati dan perasaan yang dikuasai hati yang rosak. Berdasarkan hadith yang dikemukakan di atas, kita dapat lihat dengan jelas bahawa, yang menguasai pemikiran, minda dan tindakan serta sikap manusia adalah hati. Kata ahli falsafah, hati itu raja. Dewasa ini, kita dapat menyaksikan banyak kerosakan yang berlaku kerana sikap dan tindakan manusia. Kebejatan akhlak, kemunduran pemikiran, ‘penyalahgunaan’ cinta oleh muda-mudi sehingga melahirkan anak luar nikah, couple, maksiat ‘ringan-ringan’, hagemoni kuasa, pendustaan atas nama agama malah banyak lagi isu darsawarsa ini yang terjadi, puncanya adalah hati. Hati yang tidak dirawat, akan sentiasa sakit. Perkara ini terjadi kepada hampir kesemua jenis golongan manusia, dan, malangnya, termasuk golongan yang berpendidikan dan ahli agama. Hati yang sakit akan sentiasa mencari ubat untuk merawat lukanya, dan seandainya manusia, sebagai empunya hati itu, tidak memberikan ubat yang sepatutnya, maka hati akan terus sakit, mungkin stroke, nazak dan lama-kelamaan akan MATI!. 

Ya, hati akan mati. Apabila hati telah mati, maka kita akan merasakan susah untuk melakukan malah tergerak untuk melakukan kebaikan. Malah, jika kita melakukan kebaikan sekalipun, kita susah untuk merasai kemanisannya. Perasaan sukar untuk khusyuk dalam solat, sukar untuk bersangka baik terhadap orang, sukar untuk berkata yang benar dan berfaedah, suka untuk sentiasa dalam keadaan lalai, merasa susah melihat orang lain dalam keadaan senang, sentiasa mencari alasan untuk berfoya-foya dan banyak lagi perasaan negatif akan timbul. Hidayah Allah taala akan susah untuk singgah di hati yang telah mati. Sekiranya seseorang itu pernah melalui ‘zaman kemanisan’ dalam melakukan ketaatan kepada Allah, maka dia dengan mudah dapat mengesan perubahan perilaku dan perasaan ini. Ia akan merindui saat dan ketika itu, malah akan sentiasa gelisah dan mengimpikan sekiranya boleh diputarkan masa, kembali ke saat tersebut. Cuma, mungkin, kekadang, manusia sukar untuk melakukan muhasabah diri sendiri, kerana sentiasa merasakan diri ini betul dan tiada salahnya. Kita seharusnya mencontohi sikap sesetengah khalifah Islam terdahulu, yang sering diminta untuk dimuhasabah oleh rakyat bawahan, terutamanya oleh para ulama’. Sehinggakan ada seorang khalifah, dalam sejarahnya, sering memanggil sekelompok ulama’ sebelum baginda tidur untuk memperingatkan dirinya tentang mati. Sedangkan hadith Rasulullah s.a.w jelas mengatakan bahawa, maksudnya: “Setiap anak Adam itu melakukan dosa. Dan sebaik-baik pelaku dosa itu adalah yang bertaubat”. Manusia itu sering berbuat dosa. Dosa itulah juga yang menggelapkan hati, penyebab segala kepincangan sikap, dan taubat adalah penyucinya. Sehebat mana sekalipun ilmu seseorang itu, tidak kira samada tarafnya PhD, Prof. Madya, Prof. Emeritus, Tuan Guru, malah mungkin orang biasa, sekiranya hatinya tidak kuat dengan iman dan taubat kepada Allah azzawajalla, maka segalanya akan menjadi “habaan mansuraa”, seperti debu-debu berterbangan.

Saya memilih untuk menulis dan mengulas tajuk ini dengan ringkas sebagai peringatan dan muhasabah buat diri saya khususnya, dan sekiranya para pembaca dapat mengambil manfaat daripadanya, saya sangat berharap supaya dapat didoakan untuk kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa bertaubat dan menyucikan diri. Ini kerana, Allah sangat menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyucikan diri. InsyaAllah.

Wassalam.

DARUL QURAN
15/12/2011, RABU
12:33 AM  

1 comment:

  1. قال صلى الله عليه وآله وسلم قال : " إن الله يقبل توبة العبد ما لم يغرغر " . (1

    (1) رواه أحمد (2/153) والترمذي (3537) ، وابن ماجة (4253)

    ReplyDelete