Thursday, January 22, 2015

MASA

Bismillah Bila 'membelek' semula blog ini, tak sedar sudah hampir tiga tahun tak meng'up date'nya. Ternyata memang dah berhabuk teruk.

Lantas aku terfikir, betapa cepatnya masa berlalu, banyaknya perkara serta pengalaman telah dilalui sepanjang tempoh tersebut, Telah banyak peristiwa berlaku yang aku yakin semua pun malas nak baca kalau aku ulas di sini. Samada peristiwa yang mengejutkan serta menyentap jiwa kita semua, atau peristiwa yang menggembirakan kita.


Cuma kali ini aku nak tulis berkenaan masa. Betapa relatifnya makhluk bernama MASA ini, sehingga kiraan sehari yang kita lalui 10 tahun dahulu, sudah tak sama dengan sehari yang kita lalui hari ini. Seminggu yang dilalui di zaman kecil kita sudah tidak sama rasanya dengan seminggu yang kita lalui hari ini, dan begitulah seterusnya.


Hakikatnya, kadar tempoh rasanya MASA itu berbeza bagi setiap jiwa insan. Jika seorang yang melalui hari yang gembira, dia akan merasai sehari yang dilaluinya itu sangat pantas berlalu, menyebabkan ia tidak merasa puas dengan kegembiraan yang dikecapi hari itu. Berbeza pula dengan seseorang yang ditimpa musibah, maka bukan sahaja sehari, malah sejam pun sudah dirasakannya cukup lama.


 Kekadang juga, kita kerap merasakan bahawa satu tempoh panjang yang kita lalui, seakan-akan baru semalam kita merasainya. Lalu membuatkan kita tersedar, bahawa usia kita telah meningkat, maka perlulah kita seiringkan dengan akhlak serta tingkah laku kita. Kerana ada juga manusia yang hanya matang pada usia, tetapi tidak pada akhlak perilaku serta budi bicara.


Secara zahirnya, semua kita mempunyai jumlah masa yang sama, tetapi rasa terhadap masa itu bergantung pada apa yang dilakukan dengan bekal masa yang ia ada. Justeru itulah, Allah s.w.t juga bersumpah dengan masa di dalam surah Al-'asr.


Kesimpulannya, manfaatkan masa yang kita ada sekarang untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada diri serta masnyarakat. Jika satu ketika kita pernah menyesal kerana tidak melakukan satu perkara, maka berhentilah memberikan punca untuk sekali lagi kita menyesali perbuatan kita. Rebut peluang yang ada, gembleng segala tenaga dan ilmu yang penuh di dada.